65 Tahun Muzik Rock di Malaysia: Dari Rock Proto ke Glam Rock Melayu (1955-1986)
Author: Muhamad Takiyuddin Ismail
Publisher: UM Press
ISBN: 9789674882617
Weight:
Pages: pp
Year: 2023
Price: RM150
Tidak wujudnya keraguan yang rock barangkali merupakan antara muzik popular yang paling berpengaruh di Malaysia. Ia telah menempa epok dan kontroversi tersendiri. Namun sehingga kini, tidak wujudnya satu bacaan berautoriti yang dapat menghamparkan perkembangan yang berlaku dalam babak muzik itu sejak 65 tahun yang lepas. Keterbatasan pemahaman mengenai apa yang dianggap “rock” juga menyebabkan muzik itu hanya difahami sebagai genre yang bermula pada era 1980-an. Buku siri pertama ini merupakan jawapan terhadap persoalan-persoalan di atas. Ia memperincikan kronologi babak rock yang berlaku di peringkat nasional bermula dari era 1950-an hinggalah permulaan glam rock Melayu pada tahun 1986. Didukung dengan penyelidikan dasar melibatkan temu bual dengan 187 informan dan sekitar 15 ribu sumber arkib, buku ini bukan sahaja cuba menelusuri sejarah rock di Malaysia namun usaha menulis semula sejarah dan memperbetulkan beberapa kekeliruan. Babak, insiden dan aktor yang dilupakan dalam sejarah perdana dibawa semula ke pengetahuan umum untuk didendangkan. Sering kali, terlalu banyak tumpuan diberikan kepada pemuzik, komposer ataupun penulis lirik. Buku ini bagaimanapun melihat rock sebagai sebuah ekosistem. Bermaksud, muzik rock didukung oleh banyak pihak yang memainkan peranan bersepadu dan tidak sekadar berlingkar dalam ruang album atau konsert. Menggunakan pendekatan dokumentari, pembaca akan dibawa masuk ke setiap zaman yang diperkatakan dan membaca sendiri luahan-luahan dari para aktor yang mengambil bahagian. Pembaca tidak hanya membaca mengenai sejarah atau perkembangan babak rock tetapi juga latar politik dan perubahan budaya yang menyelubungi masyarakat Malaysia dari satu era ke satu era. Ditulis dengan pendekatan separa ilmiah dan tidak ketat, buku ini mampu ditekuni dan ditelaah oleh segenap lapisan masyarakat - dari pengikut atau pengamat veteran sehinggalah ke generasi milenial. Penggunaan sekitar 255 keping foto, artikel dan dokumen berkaitan turut menambah kesan visual pembaca mengenai sesuatu isu atau episod yang diperkatakan. Bagi peminat muzik umumnya dan peminat rock khususnya, buku ini merupakan dokumentasi komprehensif pertama bagi sebuah genre muzik yang sering menerima perhatian untuk sebab yang betul mahupun untuk sebab yang salah.