Bahasa & Budaya Masyarakat Melayu di Pulau Kokos Australia
Author: Raja Masittah Raja Ariffin
Publisher: UPM Press
ISBN: 9789673443314
Page: 214 m/s
Year: 2013
Price: RM45
Bahasa & Budaya Masyarakat Melayu di Pulau Kokos, Australia ini memuatkan 11 bab yang menggarap tajuk yang berkaitan dengan bahasa dan masyarakat Melayu di Pulau Kokos, khususnya di Pulau Home yang terletak di Lautan Hindi, di bawah pemerintahan Kerajaan Australia. Bab 1 membincangkan salur galur dan sejarah kedatangan orang Melayu ke Pulau Kokos dengan pelbagai cabaran hidup yang dialami mereka. Bab 2 dan 3 membicarakan difusi penyebaran bahasa dan sistem panggilan dan sapaan dalam masyarakatnya.
Bab 4 menyenaraikan dan menghuraikan kosa kata umum, kosa kata khusus, ungkapan asli Melayu Kokos dan peribahasa. Pewujudan semua kosa kata tersebut dan kaitannya dengan pengaruh bahasa Nusantara dihuraikan dalam Bab 5. Bab 6 dan Bab 7 mengenal pasti dan memerikan bentuk dasar kata dan frasa nama, serta kata kerja dan frasa kerja yang lazim digunakan dalam pertuturan orang Melayu Kokos. Bab 8 mendeskripsikan kata adverba bentuk unggulan bentuk terbitan, frasa adverba dan klausa adverba.
Bab 9 membincangkan pemasyarakatan dan pemupukan bahasa Melayu Kokos dalam bidang pentadbiran dan pengurusan, pendidikan dan sosioekonomi di Pulau Home; manakala Bab 10 melihat aspek sosiobudaya masyarakat Melayu Kokos yang meliputi konsep ketuanan dan hamba, budaya memberi nama anak, seni bina Melayu, puisi Melayu, agama lawan kepercayaan dan aspek semiologi.
Bab akhir buku Bahasa & Budaya Masyarakat Melayu di Pulau Kokos, Australia ini memperkatakan masa depan bahasa Melayu Kokos, dengan merujuk kepada anjakan bahasa yang berlaku, faktor berlakunya penganjakan bahasa dan usaha yang telah dijalankan untuk tujuan pemeliharaan dan pemulihan bahasa.