Citra Perjuangan Sahabiah
Authors: Nursaleha binti Mohd. Salleh
Publisher: JAKIM
ISBN: 9789830426976
Tahun: 2024
Weight: gsm
Pages: 120pp
Price: RM25.00
Sahabiah ialah golongan wanita yang hidup sezaman dengan Rasulullah SAW dan mereka pernah bertemu dengan baginda. Bermula dengan penerimaan wahyu pertama di Gua Hira', Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah SAW telah memainkan peranan utama dalam kehidupan baginda. Khadijah bukan sahaja isteri yang menenangkan kegelisahan suami, malah menjadi wanita pertama yang beriman dan menyokong perjuangan Rasulullah SAW membawa risalah Islam.
Pandangan Rasulullah SAW terhadap wanita selari dengan ayat-ayat al-Quran al-Karim yang meletakkan wanita sebagai saudara kepada kaum lelaki, saling melengkapi dan bantu membantu ke arah kebaikan dan takwa. Kedudukan mulia yang diberikan Allah SWT kepada wanita menjadikan sahabiah kaum yang berjaya dan bermotivasi tinggi.
Pelbagai kisah para sahabiah diceritakan melalui penulisan-penulisan dalam sirah Rasulullah SAW. Baginda ialah ikutan terbaik umat Islam. Banyak peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW menjadi panduan dan pegangan untuk generasi demi generasi. Kisah para sahabiah adalah sebahagian daripada inspirasi dan motivasi yang menyentuh jiwa dan perasaan. Perjuangan, pengorbanan, sifat keibuan dan kewanitaan, kesetiaan, kesungguhan, keberanian, kecerdikan, kebijaksanaan, kebaikan, kesabaran, dermawan dan berbagai-bagai lagi sifat positif wujud dalam citra perjuangan mereka.
Sebahagian daripada kisah-kisah sahabiah ini termaktub di dalam al-Quran al-Karim, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kisah 'Aisyah binti Abu Bakar, Zainab binti Jahsyi, Ummu Salamah, Hafsah binti 'Umar, Khaulah binti Tha'labah adalah antara nama-nama yang dikaitkan dengan kisah-kisah yang disebut di dalam al-Quran al-Karim.