Faktor Kemalangan Pekerjaan dalam Industri Pembinaan Rel (MRT) di Malaysia
Author: Mohammad Lui Juhari, Kadir Arifin, Kadaruddin Aiyub
Publisher : UKM Press
ISBN: 9786294862265
Page: 238pp
Year: 2024
Price: RM45
Kajian ini menghujahkan bahawa kemalangan pekerjaan di industri pembinaan rel Mass Rapid Transit (MRT) adalah dipengaruhi oleh faktor pekerja; tempat kerja; bahan dan peralatan; organisasi; dan pengaruh persekitaran. Kewujudan kepelbagaian faktor ini telah menyumbang kepada kes kemalangan pekerjaan yang tinggi di industri pembinaan rel MRT.
Kajian ini bertujuan menganalisis faktor-faktor penyumbang kepada kemalangan pekerjaan dan menilai kesan kemalangan pekerjaan. Ia juga menilai tahap pelaksanaan amalan intervensi keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dan membentuk model amalan intervensi KKP dalam industri pembinaan rel MRT di Malaysia.
Sebanyak 20 buah syarikat kontraktor yang terlibat dalam projek pembinaan MRT Jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya telah dipilih bagi tujuan kajian ini. Kaedah pengumpulan data yang telah digunakan adalah menggunakan borang kaji selidik. Seramai 232 responden yang mewakili kumpulan pengurusan/profesional dan 298 responden yang mewakili kumpulan pekerja pembinaan terlibat dalam kajian ini.