Falsafah Dan Amalan Pendidikan Islam Syed M. Naquib Al-Attas
Author: Wan Mohd Nor Wan Daud
Publisher: UM
Press
ISBN: 983-100-241-5
Year: 2005
Weight:
0.400 kg
Pages: 404
pp
Price: RM40
Islamisasi ilmu pengetahuan semasa dan pendidikan umat Islam
telah banyak diperbincangkan secara serius sejak Persidangan Sedunia Pendidikan
Islam yang pertama di Makkah pada 1977, tetapi tidak terdapat usaha yang
sistematik dan berwibawa untuk menelusuri sejarah idea-idea penting mengenai
kedua-duanya. Kehampaan ini menyukarkan usaha memahami gagasan-gagasan penting
dalam pendidikan Islam masa ini, dan menimbulkan banyak masalah dalam
pelaksanaan di pelbagai tahap.
Buku ini merupakan satu huraian tentang idea-idea dan amalan
pendidikan salah seorang cendekiawan Islam yang terulung dan amat kreatif pada
zaman ini, Profesor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, yang juga telah memainkan
peranan mendasar dalam Persidangan Sedunia Pendidikan Islam yang pertama dan
kedua, dan dalam menyuluh fikiran dan perjuangan kependidikan umat selama lebih
dari tiga dekad, menghadapi zaman yang semakin mencabar pandangan alam,
tatanilai, dasar akhlak dan Syariat Islam.
Profesor Wan Mohd Nor telah mengetengahkan pelbagai bukti
dan hujah bahawa Syed Muhammad Naquib al-Attas yang bertanggungjawab menemukan
dan menghuraikan gagasan kependidikan dan kebudayaan terpenting untuk umat
Islam zaman ini, iaitu Islamisasi ilmu pengetahuan semasa dan pendidikan, dan
mempamerkan amalan idea-idea dan gagasan ini dalam konteks institusi pendidikan
tinggi, khasnya di ISTAC (International Institute of Islamic Thought and
Civilization) Kuala Lumpur, yang diasaskan olehnya dan dipimpinnya.
Karya ini mungkin yang pertama dalam wacana pemikiran pendidikan Islam masa ini. Penulis telah menggunakan pelbagai sumber sama ada yang diterbitkan atau tidak, interviu, dan perhatian langsung tentang sikap dan amalan Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai seorang pemikir dan pendidik. Buku ini sangat penting kerana ia mengandungi huraian dan analisis serta perbandingan yang sistematik dan mendalam tentang idea-idea dan amalan keagamaan dan kependidikan subjeknya secara perbandingan dengan tokoh-tokoh pemikiran dan pendidikan Islam semasa (seperti Abduh, Iqbal, Fazlur Rahman, Ismail al-Faruqi, S.H. Nasr, Abdul Karim Soroush dll) dan yang bukan Islam. Di antara tajuk besar dan penting yang dibicarakan secara berhubung kait ialah pandangan metafizika Islam (Metaphysical worldview of Islam); ilmu dan pelbagai cara mencapainya; makna, kandungan dan kaedah pendidikan; fardu ain dan fardu kifayah; kaedah tauhid dalam epistemologi dan pendidikan; tafsir dan takwil sebagai kaedah saintifik; bahasa Arab sebagai bahasa saintifik; konsep dan hakikat universiti Islam; sejarah Islamisasi ilmu pengetahuan semasa dan respons terhadapnya dan lain- lain.