Fitur Poligon: Pengawasan Aksi Insan berasaskan Video Pintar
Authors: Mohd Fadzil Abu Hassan, Aini Hussain & Mohamad Md Saad
Publisher: UKM Press
ISBN: 9789672513384
Weight: 0.28kg
Pages: 163pp
Year: 2021
Price: RM30
Prestasi pembangunan struktur sistem penjagaan kesihatan serta sosioekonomi di Malaysia berkembang baik dan ini menjadi faktor penyumbang dalam penerusan peningkatan kadar penuaan penduduk dan sekali gus menunjukkan mortaliti di awal usia adalah kecil. Namun, kepesatan ini akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara menua menjelang 2030. Peratusan warga emas yang mempunyai masalah kesihatan pula adalah tinggi (87 peratus) dan faktor ini boleh mengancam keselamatan mereka sekiranya aktiviti harian mereka tidak diawasi dengan baik. Selaras dengan perkembangan pesat teknologi mesin penglihatan, pemantauan aksi insan terutama peristiwa ganjil seperti jatuh adalah amat perlu sebagai salah satu ciri utama dalam sebuah sistem pengawasan video pintar. Masa kini, kebanyakan sistem pengawasan video adalah tidak automatik sepenuhnya, malah kurang cekap kerana memerlukan aras tumpuan pengawasan yang amat tinggi oleh operator pengawasan untuk memantau peristiwa ganjil yang berlaku. Buku ini memperkenalkan sebuah algoritma pengesan berasaskan penglihatan komputer supaya pengawasan bebas sentuhan boleh dilakukan tanpa operator. Pembangunan algoritma ini terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pembinaan sistem pengesanan aksi (SPAks) dan fasa pembinaan sistem pengecaman peristiwa jatuh (SPPJ). la melibatkan pengesanan objek; pra-pemprosesan serta pengitlakan bentuk; penyarian serta pemilihan fitur; dan pengelasan. Satu fitur mudah baharu berasaskan bentuk poligon dengan pengelas konvensional terbukti berkesan dan sesuai untuk dilaksanakan sebagai sistem pengesanan aksi ganjil dan peristiwa jatuh.
MOHD FADZIL ABU HASSAN, PhD., merupakan pensyarah kanan Universiti Kuala Lumpur (UniKL). Dianugerahkan ijazah doktor falsafah daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2019. Penguasaan akademik dan teknikal tertumpu dalam bidang mesin penglihatan pintar dan sistem terbenam. Perolehi dana pendidikan dan industri untuk penyelidikan kejuruteraan dan pembangunan sistem inovasi. Diiktiraf MBOT sebagai teknologis profesional dan seorang jurulatih negara dalam bidang robotik mudah alih untuk Pertandingan Kemahiran peringkat ASEAN (ASC).
AINI HUSSAIN, PhD., adalah Profesor di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, UKM. Kepakaran beliau tertumpu dalam bidang pembelajaran mesin, kecerdasan buatan, pemprosesan isyarat dan pengecaman corak. MOHAMAD HANIF MD SAAD, PhD., adalah Profesor Madya di Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina, UKM. Beliau amat aktif dalam penyelidikan, pembangunan serta pengkomersialan sistem kejuruteraan pintar untuk agensi-agensi kerajaan serta syarikat multinasional dan SME di Malaysia, Singapura, Thailand dan Emiriah Arab Bersatu.