​Hubungan Antara Negara dalam Sejarah: Dari Era Pra Perang Dingin ke Perang Dingin

RM35.00
9789674122010
3 item(s)
+

Hubungan Antara Negara dalam Sejarah: Dari Era Pra Perang Dingin ke Perang Dingin

Editor: Azlizan Mat Enh, Ku Boon Dar, Muhamad Hasrul Zakariah & Mohamad Rodzi Abdul Razak

Publisher: UKM Press

ISBN: 9789674122010

Pages: 254pp

Year: 2014

Weight: 0.370kg

Price: RM35

Buku Hubungan Antara Negara dalam Sejarah: Dari Era Pra Perang Dingin ke Perang Dingin adalah hasil perbincangan ahli akademik atas keperluan masa kini untuk mendedahkan pengetahuan pelajar agar dapat memahami sejarah lampau dengan kesinambungan sejarah yang berlaku pada hari ini.

Sesuai dengan tajuk dan objektifnya, buku ini membincangkan isu-isu politik terutamanya hubungan sesebuah negara dengan negara yang lain dari era Pra Perang Dingin hingga ke era Perang Dingin. Antaranya hubungan Malaysia-lndonesia, Vietnam-Kemboja, Jepun-China, hubungan Arab-lsrael, termasuk hubungan Amerika dengan Asia semasa dasar pembendungan komunis era Perang Dingin.

Hubungan Antara Negara dalam Sejarah: Dari Era Pra Perang Dingin ke Perang Dingin mengandungi 10 bab yang memuatkan perbincangan tentang isu-isu utama dalam sejarah hubungan antara negara dalam arena diplomatik antarabangsa.

Bab pertama, hubungan dua negara yang terjalin antara China dengan Barat sebelum Perang Candu di China adalah antara peristiwa bersejarah yang masih relevan untuk dikaji sehingga masa kini. Perbincangan bab ini menyentuh dasar luar hubungan politik, ekonomi dan kebudayaan China yang berteraskan kepada sistem tributari ( Imperial Chinese Tributary System) sebelum Perang Candu (1839-1842). Penulis merungkaikan kewujudan sistem tributari daripada aspek sejarah dan ciri-ciri pelaksanaannya dalam dasar luar China. Melalui penelitian penulis ke atas sumber-sumber primer yang terdiri daripada buku-buku klasik China, penulis telah menyarankan bahawa perlunya pendefinisian yang baharu terhadap istilah-istilah yang digunakan dalam sistem tributari mengikut tafsiran China dan bukannya mengikut perspektif Barat yang sering memberi konotasi negatif terhadap pelaksanaan sistem tributari.

Mengupas tentang isu tuntutan Kesultanan Sulu dan Filipina terhadap Sabah, penulis membahaskan isu tersebut dengan menggunakan kaedah historiografi dan temu bual. Ini merupakan isu lama iaitu sejak tahun 1870-an dan berlanjutan sehingga ke hari ini. Bab kedua memperlihatkan siri diplomatik yang dilakukan ke arah mencapai persetujuan daripada pihak yang terlibat, khususnya antara kerabat Kesultanan Sulu dengan kerajaan Malaysia.

Hubungan pasang surut antara Indonesia dengan Malaysia turut mewarnai politik kedua-dua negara dalam mencapai keamanan serantau. Melayu Raya atau Indonesia Raya adalah gagasan yang diperjuangkan oleh golongan politik radikal Melayu yang berketurunan Indonesia di Tanah Melayu untuk memerdekakan Tanah Melayu bersama-sama dengan Indonesia sebagai sebuah keluarga besar Melayu Nusantara. Bab ketiga menyingkap perjuangan golongan ini dalam mencapai matlamat mereka. Penulis telah membuktikan bahawa hubungan serumpun Malaysia Indonesia telah pun wujud sebelum bermulanya hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara ini.

Masih mengenai hubungan Malaysia Indonesia, bab keempat meneliti ancaman daripada aspek ketenteraan dan kegiatan subversif yang dilakukan oleh Indonesia terhadap Malaysia antara tahun 1963 hingga 1966 berdasarkan sudut pandangan Malaysia. Dalam tempoh tersebut, hubungan kedua-dua negara berada dalam situasi tegang ekoran pengisytiharan dasar konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia. Kedua-dua ancaman ini merupakan sebahagian daripada bentuk penentangan Indonesia ke atas Malaysia, di samping konfrontasi dalam aspek politik, ekonomi dan propaganda. Perbincangan artikel ini memberi tumpuan kepada ancaman yang diterima oleh Malaysia terutamanya di Sarawak, Sabah dan Johor sebagai tiga buah negeri yang paling terkesan akibat ancaman pencerobohan gerila-gerila dan kegiatan subversif Indonesia. Berdasarkan penelitian ke atas sumber-sumber yang terdiri daripada perbahasan Parlimen Malaysia, penerbitan rasmi negara dan akhbar-akhbar, penulis merumuskan bahawa ancaman pencerobohan ketenteraan dan kegiatan subversif Indonesia merupakan punca utama konfrontasi yang menyebabkan ketegangan hubungan antara kedua-dua negara.

Hubungan kuasa-kuasa besar era Perang Dingin dengan negaranegara di Asia Tenggara dan Eropah merupakan sebahagian daripada kajian yang menarik dimuatkan dalam buku ini. Perang Dingin yang menyaksikan persaingan ideologi pro komunis dan anti komunis menjadi isu global selepas tamat Perang Dunia Kedua. Persaingan global antara Soviet dengan Amerika Syarikat dan sekutunya British telah memberi impak kepada negara-negara di Asia Tenggara dan tidak terhad di Eropah sahaja. Di Indonesia, kemunculan Order Baru yang dipimpin oleh Soeharto telah mewujudkan paradigma baharu dalam hubungan Indonesia dengan kuasa-kuasa Barat khususnya British.

Sebagai kuasa yang telah terlibat secara langsung dalam politik Indonesia selepas penamatan Perang Dunia Kedua, British memahami asas, keperluan dan peluang politik yang wujud di negara itu berikutan peralihan kuasa dari zaman kekuasaan Order Lama yang dipimpin oleh Sukarno. Bab lima, menghuraikan pendekatan British ke atas Indonesia di peringkat awal kemunculan pemerintahan Soeharto berasaskan keperluan Indonesia dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Penulis mendapati bahawa strategi “to win heart and mind” melalui bantuan-bantuan ekonomi dan sosial memainkan peranan utama pendekatan British terhadap Indonesia dan telah menarik sokongan pentadbiran baharu Indonesia terhadap kuasa Barat, khususnya British sendiri.

Perang Dingin turut mengheret Vietnam untuk terlibat sama ke kancah konflik antarabangsa. Walaupun Perjanjian Geneva 1954 menandakan berakhirnya pendudukan Perancis di Indo China yang merangkumi Vietnam, Cambodia dan Laos. Namun, ini tidak bermaksud negara-negara tersebut merdeka dengan mudah. Hal ini disebabkan oleh persaingan ideologi yang pro Komunis dan anti Komunis menjadi isu penting di ketiga-tiga negara bekas tanah jajahan Perancis ini sehingga membawa kepada konflik berterusan antara kedua-dua golongan tersebut. Bab enam membincangkan hubungan Vietnam Selatan dengan Cambodia kesan daripada persaingan ideologi di bekas tanah jajahan Perancis. Kajian penulis berfokus antara tahun 1954 sehinggalah berakhirnya pemerintahan Ngo Dinh Diem di Vietnam Selatan.

Selain itu, Perang Dingin turut memberi impak dalam hubungan diplomatik Jepun-China. Bab tujuh merujuk kepada sejarah hubungan Jepun-China dengan memberi fokus kepada dua persoalan penting iaitu mengapa dan bagaimana dasar konfrontasi yang berlaku dalam hubungan Jepun-China pada awal Perang Dingin telah berubah kepada dasar normalisasi. Penulis turut merungkai sejauh mana dasar normalisasi ini telah membawa kepada pemulihan dan perkembangan dalam hubungan dua-hala kedua-dua negara tersebut.

Bab lapan pula mengupas reaksi dan tindakan Amerika Syarikat selaku kuasa besar selepas Perang Dunia Kedua dan pejuang demokrasi terhadap pengaruh pergerakan komunis di negara-negara Asia Tenggara, khususnya terhadap pergerakan komunis di Indochina dan Tanah Melayu yang dianggap kawasan penting kepada Amerika Syarikat dari sudut ekonomi dan strategik.

Menyentuh pula tentang Perang Dingin di Eropah,kawalan Soviet ke atas Romania telah mencemaskan Amerika apatah lagi apabila Parti Komunis Romania membentuk kerajaan pada tahun 1947. Amerika Syarikat mengutuk Soviet kerana tidak memberi kebebasan kepada Romania dalam menentukan hala tuju kerajaan itu terutamanya mengawal hubungan Romania dari segi politik, ekonomi dan militer dengan Barat. Hubungan Romania pada 1940-an ternyata dingin dengan Barat tetapi berubah selepas 1960-an iaitu selepas pengunduran Soviet dari Romania pada 1958. Perbincangan bab sembilan ini meneliti hubungan Amerika dengan Romania daripada aspek diplomatik, ekonomi dan militer ketika era Perang Dingin. Kajian penulis mendapati bantuan Amerika terutamanya dalam bidang ekonomi berjaya membantu membangunkan ekonomi Romania yang mundur semasa penguasaan Soviet di Romania.

Akhir sekali dalam bab 10, penulis menyoroti konflik antarabangsa yang sering menarik perhatian masyarakat dunia iaitu konflik ArabIsrael. Perang Arab Israel 1973 merupakan satu peristiwa penting dalam sejarah konflik Arab Israel di Asia Barat. Peristiwa ini merupakan perang berskala besar yang telah merintis jalan kepada siri-siri proses damai di Asia Barat yang masih berlangsung sehingga kini. Perbincangan dalam bab ini menganalisis dasar dan sikap British terhadap peristiwa Perang 1973 dan proses damai selepasnya. Penulis turut menilai motif di sebalik polisi London dalam konflik ini. Analisis ke atas dokumen di arkib London menunjukkan walaupun berlaku peralihan tampuk pemerintahan di Britain tetapi sikap, motif dan dasar kerajaan British terhadap konflik ini tidak berubah. Beberapa contoh terpilih misalnya dalam isu Palestin telah dihujahkan bagi menyokong interpretasi ini. Walaupun diakui terdapat pelbagai pertimbangan dalam proses menggubal dasar luar, analisis ini juga cenderung untuk menyimpulkan bahawa formulasi dasar luar British yang tidak berubah dalam krisis 1973 berkemungkinan besar berpunca daripada pertimbangan-pertimbangan ekonomi yang kritikal, khususnya kepentingan minyak dan perdagangan senjata di Asia Barat.

Oleh itu, Hubungan Antara Negara dalam Sejarah: Dari Era Pra Perang Dingin ke Perang Dingin sangat sesuai dibaca oleh setiap lapisan masyarakat agar dapat memahami dengan jelas pola politik antarabangsa sebelum, semasa dan selepas era Perang Dingin. Ilmu yang diperoleh melalui Hubungan Antara Negara dalam Sejarah: Dari Era Pra Perang Dingin ke Perang Dingin dapat memberi pengajaran dan menjadi benteng kepada kita dalam menentukan hala tuju masa depan negara supaya kita tidak tersepit dalam percaturan politik kuasa-kuasa besar dunia. Apatah lagi, dewasa ini menyaksikan persaingan dua buah kuasa besar yang berminat dengan perkembangan di rantau Asia Tenggara iaitu Amerika Syarikat dan China.


JAMINAN KAMI

ORDER DIPROSES & DIHANTAR SETIAP HARI

Bayar SEBELUM 10 AM, order akan diproses & dihantar pada hari yang sama.

Bayar SELEPAS 10 AM, order akan diproses & dihantar pada esok hari.

*ISNIN - JUMAAT (hari bekerja sahaja). Tiada penghantaran dibuat pada hari Sabtu, Ahad & cuti umum.

HUBUNGI KAMI