Ilmuwan Pencerah Umat Misi dan Wawasan dalam Kebangkitan Islam di Alaf
Baharu
Penyunting:
Muhamad Razak Idris, Asma Hakimah Ab Halim & Lathifah Ulfa Ismail
Penerbit:
Institut Darul Ehsan
ISBN: 9789672066187
Muka
Surat: 140 pp
Tahun
Terbit: Oktober 2017
Kebangkitan Islam dalam sejarah sejak sekian lama
ditunjangi oleh peranan berkesan yang dimainkan oleh ilmuwan Muslim dalam
pelbagai bidang kehidupan. Dalam buku ini, ilmuwan juga dirujuk sebagai
golongan cendekiawan, ulama dan intelektual yang aktif dan amanah dalam
menjayakan pembaharuan pemikiran dan pembangunan dalam segenap sektor kehidupan
dan ketamadunan hari ini.
Kepentingan golongan ilmuwan sebagai penggerak kebangkitan
Islam dan pembangunan ummah diperakui oleh semua. Ini menuntut penekanan
berterusan agar peranan mereka diperkasakan demi cita-cita masyarakat dan
negara yang lebih menyeluruh. Para ilmuwan mesti menjadi tonggak dalam
pergerakan dakwah Islamiyyah. Oleh yang demikian, agenda bagi melahirkan dan
membangunkan sejumlah ilmuwan yang competent atau berdaya saing tidak
boleh sama sekali diabaikan. Ini bagi memastikan golongan ilmuwan dapat terus
berfungsi sebagai kelompok pencerah umat, memimpin ilmu dan pemikiran masyarakat
mengenai hakikat kebenaran dan membezakan pendustaan dan kejahilan. Peranan
dakwah sebagai penyebar risalah kebenaran tidak akan memberi kesan tanpa
menerusi penglibatan aktif para ilmuwan Muslim dalam segenap segi dan dimensi
perjuangan.
Misi pentamadunan ummah jelas tidak boleh terpisah dengan
gerakan memartabatkan ilmu pengetahuan, membangun kematangan dan mengukuhkan
keyakinan masyarakat secara menyeluruh. Peranan ilmuwan sebagai pencerah umat
dalam konteks ini amat ketara iaitu sebagai kelompok yang mesti
bertanggungjawab mencetuskan kesedaran, memimpin pemikiran dan memandu langkah
melahirkan umat yang memiliki kecerdasan jiwa dan akliah.