ISLAM DALAM SEJARAH POLITIK DAN PEMERINTAHAN ALAM MELAYU
Author: Auni Haji Abdullah
Publisher: ABIM Press
ISBN: 9789672158325
Pages: 378 pp
Price: RM48.00
Buku ini cuba menyumbangkan
satu kajian sejarah yang memperjelaskan proses bertahap-tahap dalam menegakkan
landasan pemerintahan Islam dan menerapkan suatu tataurus kerajaan (statecraft)
baru seiring dengan kemasukan agama Islam hingga berakar umbi membentuk budaya
politik dan pemerintahan yang telah menghakiskan sisa baki warisan tradisi
Hindu yang telah agak lama mencengkam rantau Alam Melayu. Penerapan ini telah
mengubah arahtuju kiblat nilai-nilai politik dan pemerintahan.
Sesungguhnya sepanjang proses Islamisasi
yang berlaku dalam lipatan sejarah, ia telah mentransformasi ekologi politik
Alam Melayu. Transfomasi yang berlaku
bukan hanya sekadar merombak struktur dan institusi pemerintahan malahan
menyuntik falsafah dan pemikiran politik
yang mencorakkan pandangan dan pegangan hidup dalam berpolitik dan berkerajaan.
Manifestasi dari transformasi yang berkesinambungan dari abad ke abad telah dipaparkan dengan terperinci dari berbagai dimensi. Hal ini dapat ditelusuri dari pola pembentukan kesultanan-kesultanan hinggalah kepada pola kedinamikan dan pergumulan ulama sebagai tulang belakang di sebalik pertapakan asas-asas pemerintahan Islam dan kepada kemapanan tradisi pemerintahan Islam menjadi banteng ampuh menghadap asakan demi asakan kolonialisme. Dengan paparan ini dapat menyerlahkan bahawa kemunculan kesultanan demi kesultanan dengan dukungan para ulama telah meletakkan suatu unsur kedinamikan dalaman yang menjadi paksi kepada pertumbuhan sebuah tamadun dengan nilai-nilai peradaban baru dan kepada perubahan dalam persekitaran perniagaan, proses perbandaran, pertumbuhan kota-kota pelabuhan yang telah menobatkan banyak kesultanan sebagai pusat keilmuan yang serentak dengan itu juga merupakan kuasa politik dan perdagangan yang digeruni. Semuanya ini memperjelaskan hakikat tentang impak dan bahana tatacara politik baru berpaksikan ajaran Islam yang telah dapat berkembang dan bertapak.