Ke Arah Reformasi Islam: Kebebasan Sivil, Hak Asasi dan Undang-Undang Antarabangsa
Origin: Toward an Islamic Reformation: Civil Liberties, Human Rights and International Law
Author: Abdullahi Ahmed An-Naim
Translator: Ahmad Nabil Amir
Publisher: Islamic Renaissance Front
ISBN: 9789671681954
Year: 2019
Pages: 300 pp
Price: RM55
Menerusi buku ini, Professor Abdullahi Ahmed An-Naim telah merakamkan betapa teguhnya para Muslimin berpegang kepada konsep Shari’ah sebagai sesuatu yang amat kudus sekali. Hal ini adalah terhasil akibat daripada pendekatan para ulama’ yang menggunakan naratif shari’ah sebagai benteng terakhir dalam mempertahankan Islam dan identiti Muslim itu sendiri. Para ulama’ telah mempamerkan shari’ah sebagai suatu undang-undang yang kukuh yang tidak boleh dipersoalkan atau ditolak. Akan tetapi, apa yang dikatakan pada hari ini sebagai shari’ah pada dasarnya hanya merupakan suaru produk daripada perkembangan historisnya.
Masalah utama dalam korpus undang-undang shari’ah menurut an-Naim adalah apabila perkembangannya terbantut akibat daripada penutupan pintu Ijtihad suatu masa dahulu oleh para ulama’ sendiri yang bertujuan untuk menutup segala ruang perdebatan dan polemik yang mungkin memporak-perandakan masyarakat Islam itu sendiri. Akan tetapi akibat daripada tindakan ini, maka dinamika dalaman shari’ah itu sendiri telah hilang. Sejak itu shari’ah tidak lagi mampu untuk memberikan penyelesaian yang tuntas atau sebarang formula bagi umat Islam untuk menghadapi dunia yang semakin rencam dari sudut sosio-budaya, ekonomi, dan politik.
Maka apakah yang dimaksudkan sebagai reformasi bagi An-Naim? Pertamanya yang perlu difahami, ia bukannya membawa maksud penolakan pada Islam atau budaya etikanya. Tetapi sebaliknya, An-Naim menganjurkan agar prinsip-prinsip Islam yang bersifat anjal lagi toleran itu berperanan dalam menyemak dan menilai semula akan peranan shari’ah pada masa ini. Kemungkinan yang paling terdesak adalah untuk membangunkan sebuah prinsip etika dalam berinteraksi dengan mereka yang mempunyai pegangan dan kefahaman yang lain sama ada dalam kalangan Muslimin itu sediri mahupun dengan mereka yang berlainan aqidah. Kerana bagi An-Naim, sifat toleran dalam berhadapan dengan kefahaman yang lain dan apa jua bentuk pendapat yang asing itu adalah maha penting untuk kebaikan dari sudut spiritual dan intelektual Islam itu sendiri. Dan cabaran yang paling hebat adalah bagi mereka yang beriman itu adalah untuk membebaskan diri mereka daripada sebarang bentuk kefahaman yang dogmatik dan rigid dalam interpretasi hukum-hukum shari’ah kerana sebuah negara yang berteraskan Islam itu tidak dapat dibina dalam satu malam dengan hanyalah berdasarkan interpretasi dan aplikasi shari’ah yang berbentuk literal.