Maqasid Puasa: Hikmah dan Tujuan Pensyariatan

RM15.00
9789671406953
1 item(s)
+

MAQASID PUASA: HIKMAH DAN TUJUAN PENSYARIATAN

Penulis: Al-Imam Al-'Izz Ibn 'Abd Al-Salam

Penterjemah: Marwan Bukhari

Penerbit: Institut Darul Ehsan - IDE

ISBN: 9789671406953

Muka Surat: 44 pp

Buku terjemahan karya al-Imam ‘Izz al-Din Ibn’ Abd Salam al-Sulami iaitu Maqasid Puasa mengandungi sepuluh fasal. Ini meliputi perbincangan mengenai kewajipan puasa, fadhilat puasa, adab-adab puasa, perkara yang patut dijauhi, Lailatul Qadar, iktikaf dan bersedekah pada bulan Ramadhan, amalan puasa enam hari di bulan Syawal, puasa-puasa sunat dan hari yang dilarang berpuasa. Hikmat mengenai puasa ini hanya dapat dinikmati oleh mereka yang berpuasa dan bersyukur dengan nikmatNya.

------------

Risalah Maqasid Puasa karya Sheikh ‘Izz al-Din Ibn ‘Abd al-Salam al-Sulami al-Shafi’i adalah sebahagian daripada kerangka besar maqasid al-shari`ah yang meliputi al-maqasid al-`ulya (objektif tertinggi), al-maqasid al-`ammah (objektif umum), al-maqasid al-khassah (objektif khusus) dan al-maqasid al-juz’iyyah (objektif juz’i). Istilah al-maqasid al-juz’iiyah merujuk pengertian sebab (`illah), hikmah dan tujuan di sebalik sesuatu hukum. Memang setiap hukum syari`at mengandungi hikmah dan matlamat, baik tersurat atau tersirat.

Mustahil Tuhan Yang Maha Hakim, memerintahkan sesuatu tanpa tujuan. Demikianlah halnya dengan puasa, yang jelas bermatlamat mencapai pelbagai manfaat dan maslahat kerohanian yang terumus pada kata taqwa. Yang dituntut dalam ibadat puasa (dan ibadat-ibadat lain juga), ternyata bukan hanya pelaksanaan syarat dan rukunnya, tetapi juga pencapaian hikmat dan matlamatnya.

Dengan ketajaman daya renung keulamaannya, al-Shaykh al-`Izz (`Izz al-din) ibn `Abd al-Salam (578 – 660H) dapat melihat hakikat bahawa syari`at keseluruhannya adalah maslahah (manfaat dan kebaikan bagi manusia). Keyakinan tersebut terungkap jelas dan tegas dalam karyanya, Qawa`id al-Ahkam fi Masalih al-Anam. Judul karyanya sahaja sudah membayangkan pokok fikirannya, iaitu pertautan antara hukum dengan maslahah manusia. Dalam karya besarnya itu al-`Izz mengatakan bahawa syari`at seutuhnya adalah masalih dalam pengertian sama ada menghindari keburukan (mafasid) atau mendatangkan kemaslahatan (masalih).

Justeru, setiap seruan Ilahi “Wahai orang-orang yang beriman, …”, dapat dipastikan bahawa pesan seterusnya tidak lain, sama ada berupa kebaikan untuk diraih, atau keburukan untuk dihindari. Demikianlah ayat yang mewajibkan puasa (al-Baqarah: 183) yang juga bermula dengan seruan, “Wahai orang-orang yang beriman, …”. Pesan yang mengikutinya ialah pencapaian taqwa, puncak kebaikan yang harus didaki dengan ibadat puasa.

Dalam perbicangan tentang pembahagian (jenis-jenis) maqasid al-shari`ah terdapat kategori yang disebut maqasid ta`abbudiy atau matlamat pengabdian Ilahi dalam penurunan syari`at. Seperti yang disebut dalam surah al-Dhariyat:56, tujuan penciptaan jin dan manusia ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah.

Memang, misi hidup manusia ialah pengabdian kepada Pencipta dan kebaktian kepada makhluk-Nya (`ibadat al-khaliq wa islah al-makhluq). Pengabdian kepada Allah bererti mematuhi segala perintah-Nya dan menuruti segala kehendak-Nya. Untuk itu manusia harus melepaskan diri dari belenggu nafsu. Maqasid atau objektif inilah yang ditekankan oleh Shaykh al-Maqasid al-Imam al-Shatibiy dalam karya monumentalnya al-Muwafaqat bahawa, “Tujuan penurunan syari`at ialah untuk membebaskan manusia dari kehendak dan dorongan nafsu (…ikhraj al-mukallaf min daa`iyati hawaahu)”.

Demikianlah, maqasid al-shari`ah (ta`abbudiy) meliputi matlamat pembebasan manusia dari mengabdi kepada nafsunya, atau menjadikan nafsu sebagai tuhannya. Sepanjang Ramadhan, manusia mukmin berjuang mencapai objektif syari`at, “pembebasan dari belenggu nafsu”. Perjuangan melawan nafsu itulah yang disebut dalam bahasa agama sebagai mujahadah. Kata mujahadah dalam wazan mufa`alahadalah bentuk kata yang seakar dengan kata jihad.

Tetapi mujahadah lebih membawa maksud perjuangan rohaniah yang berterusan dan berulang-ulang. Memang nafsu boleh dikalahkan dengan mujahadah, tetapi ia akan bangkit kembali walau berapa kali dikalahkan. Kerana itu perjuangan melawannya juga harus berterusan. Yang penting, puasa memberikan kita keyakinan bahawa sesungguhnya kita mampu mengalahkan nafsu.

Dalam kehidupan manusia mukmin, kemampuan mengalahkan nafsu adalah prasyarat untuk menang dalam menghadapi segala jenis lawan. Falsafah hidup ini dapat diungkapkan secara mudah: jika mampu melawan nafsu, akan mampu mengalahkan semua lawan; sebaliknya jika gagal mengalahkan nafsu, takkan berdaya melawan yang lain-lain. Pengetahuan tentang tujuan pensyari`atan puasa (maqasid al-sawm) tentunya akan membantu peningkatan kualiti ibadah. Puasa kita akan menjadi lebih bererti dan berkesan, tidak hanya sekadar mengalami lapar dan dahaga.

Puasa adalah ibadah dan sekali gus tarbiyah pembentukan watak berpaksikan taqwa. Ciri-ciri perwatakan al-muttaqin banyak diungkapkan dalam al-Qur’an. Kata taqwa itu sendiri ditakrifkan oleh sebahagian ulama sebagai kesedaran hati nurani dan kewaspadaan batin yang dibangkitkan oleh rasa takut kepada Allah (damirun ayqazathu khashyatu ‘Llah).

Pembentukan watak muttaqin adalah bahagian daripada maqasid al-shari`ah, khususnya maqasid akhlaqiyyah (objektif akhlaqi) yang merupakan maqasid al-bi`thahatau objektif pengutusan al-Rasul s.`a.w. sebagaimana sabdanya, “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia”. Ibadat (termasuk puasa) pada umumnya adalah akhlak, dalam pengertian berakhlak dan beradab kepada Allah. Puasa adalah ibadat yang padat dengan hikmat pendidikan akhlak dan adab. Justeru, orang yang sedang berpuasa terikat dengan sejumlah pantang larang moral sebagaimana yang dibicarakan dalam bab adab-adab puasa. Kerana itu yang perlu dijaga bukan hanya aspek sah dan batal menurut fiqh, tetapi juga aspek adab, roh dan semangat puasa.

Semoga puasa kita pada Ramadhan kali ini lebih baik daripada masa-masa lalu. Selamat menjalani ibadat intensif ihya’ Ramadan demi mencapai maqasid al-sawm yang menepati kehendak dan maksud syari`at.

.

Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil merupakan Pengerusi IDE dan mantan Presiden WADAH


JAMINAN KAMI

ORDER DIPROSES & DIHANTAR SETIAP HARI

Bayar SEBELUM 10 AM, order akan diproses & dihantar pada hari yang sama.

Bayar SELEPAS 10 AM, order akan diproses & dihantar pada esok hari.

*ISNIN - JUMAAT (hari bekerja sahaja). Tiada penghantaran dibuat pada hari Sabtu, Ahad & cuti umum.

HUBUNGI KAMI