Menelusuri Inti Sari: Linguistik Sejarah dan Perbandingan
Authors: Noriah Mohamed
Publisher: ITBM
ISBN: 9789674608705
Weight: 0.3kg
Pages: 152pp
Year: 2021
Price: RM30
Linguistik sejarah dan perbandingan terbentuk daripada dua istilah, iaitu linguistik sejarah dan linguistik perbandingan. Linguistik sejarah meneliti perkembangan unsur (dalaman dan luaran) bahasa sejak awal kemunculan bahasa berkenaan hingga suatu waktu tertentu. Linguistik perbandingan pula memfokuskan perbandingan antara bahasa atau dialek untuk menentukan hubungan sejarah antara bahasa dengan bahasa atau dialek dengan dialek.
Terdapat tiga objektif linguistik sejarah dan perbandingan. Pertama, bidang ilmu ini mengenal pasti kewujudan hubungan kekerabatan antara bahasa; kedua, bidang ini meninjau sejarah bahasa tertentu; dan ketiga bidang ini juga mengembangkan teori perubahan bahasa.
Secara khususnya dalam objektif pertama dan kedua, linguistik sejarah dan perbandingan cuba menjangkau lebih jauh ke dalam kehidupan bahasa atau dialek pada zaman prasejarah. Fokus dua objektif ini dapat diteliti menerusi empat usaha bidang ilmu ini, iaitu memaparkan perkaitan antara bahasa pada zaman prasejarah, merekonstruksi bentuk bahasa induk, mengelompokkan bahasa dan meramalkan pusat penyebaran bahasa induk.
Bagaimakah linguistik perbandingan dilibatkan dalam ketiga-tiga objektif sebelum ini? Dalam objektif pertama dan kedua, kaedah perbandingan digunakan untuk menentukan hubungan keluarga bahasa, merekonstruksi bahasa tua dan menggelompokkan bahasa. Perbandingan juga dikaitkan dengan objektif ketiga apabila kaedah ini digunakan untuk menentukan perubahan terhadap unsur bahasa atau dialek. Selain meneliti bentuk perubahan, objektif ketiga ini juga cuba memahami "sistem" perubahan bahasa dari sudut sosial, umpamanya bagaimanakah bermulanya perubahan berkembang dalam bahasa komuniti? Hal ini hanya boleh diteliti jika bahasa dan dialek dikaji dari segi sejarah (objektif pertama dan kedua).
Buku ini meninjau ketiga-tiga objektif yang dihuraikan dan empat usaha yang memfokuskan objektif pertama dan kedua serta penerapan kaedah perbandingan dalam kedua-duanya.