Modul-Modul Hafazan Al Quran
Author: Sedek Ariffin, Mustaffa Abdullah & Muhamad Alihanafiah Norasid
Publisher: UM Press
ISBN: 9789831009338
Weight:
Year: 2017
Page: 172 pp
Price: RM46
Karya berjudul ‘Modul Hafazan al-Quran’ ini bertujuan menyajikan pendekatan praktikal menghafaz al-Quran bagi setiap individu yang berminat menghafaz al-Quran dalam kehidupan seharian. Bermula dengan topik adab dan kelebihan menghafaz al-Quran, kandungan karya ini sekaligus memberikan satu suntikan motivasi kepada umat Islam khususnya kepada pencinta al-Quran untuk menghafaz al-Quran berteraskan modul yang sistematik sejajar dengan komitmen masa yang mampu diperuntukkan seharian serta kemampuan hafazan yang dimiliki. Turut ditampilkan dalam karya ini ialah tiga rukun hafazan al-Quran yang perlu dijelujuri oleh setiap huffaz. Modul-modul hafazan ini boleh dijadikan sebagai penanda aras dalam mengintegrasikan hafazan al-Quran dengan subjek akademik yang lain agar masa yang diperuntukkan dan juzuk yang dicadangkan bertepatan dengan kemampuan para pelajar yang sepatutnya. Ini penting bagi memastikan ayat-ayat yang dihafal benar-benar terpelihara dalam dada para huffaz.Terdapat 12 modul hafazan direkayasa dalam karya ini, dan modulmodul terbabit dikupas dalam setiap bab. Bermula dengan modul menghafaz al-Quran 30 minit sehari sehingga modul menghafaz al-Quran 10 jam sehari. Menariknya, modul-modul yang diketengahkan dalam karya ini tidak bersifat eksklusif buat mereka yang berkecimpung dalam dunia hafazan al-Quran semata-mata, malah ia terpakai buat semua golongan kelas dan usia. Penyediaan modul-modul tersebut bersesuaian dengan kapasiti setiap individu yang mempunyai minat mendalam untuk menghafaz al-Quran walaupun komitmen masa dan kemampuan hafazan mereka berbeza-beza.
Justeru, penghasilan karya ini sekaligus menegaskan bahawa seluruh umat Islam mampu menghafaz keseluruhan al-Quran serta mengingati hafazan al Quran dengan mantap, asalkan mereka berminat untuk menghafaz al-Quran, memiliki asas bacaan al-Quran yang baik, serta menuruti modul-modul yang dikemukakan dalam karya ini secara bersungguh-sungguh, konsisten, dan berdisiplin dengan peruntukan jam yang telah ditetapkan dalam sehari.