Penukaran Agama Kanak-Kanak: Isu dan Cadangan
Author: Mohamed Azam Mohamed Adil & Ahmad Badri Abdullah
Page: 28 pages
Publisher: IAIS Malaysia
ISBN: 978-967-12545-2-3
Prakata Editor
Kami di IAIS Malaysia amat
berbesar hati untuk membincangkan semula tajuk ‘Penukaran Agama Kanak-kanak:
Isu dan Cadangan’ dalam Kertas Isu dan Polisi. Sejak edisi pertama dalam Bahasa
Inggeris dengan judul Conversion of Minor: Issues and Challenges diterbitkan
dalam tahun 2013, isu penukaran agama oleh salah satu pihak yang asalnya bukan beragama
Islam dan mendaftarkan perkahwinan di bawah Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan
Perceraian) 1976, banyak perkembangan telah berlaku. Kertas Isu dan Polisi ini
merupakan hasil daripada beberapa siri konsultasi bersama beberapa pemuka yang
terkemuka di Malaysia, hakim-hakim dan pihak NGO yang menumpukan kepada isu
mengenai penukaran agama serta beberapa isu lain yang berkaitan, khususnya yang
melibatkan status anak bagi pasangan yang menukar agama.
Semuanya bermula dengan keputusan
Kabinet pada bulan April 2009, kemudian pada 2013 dan yang terkini pada hujung
2015 berkaitan dengan penukaran agama oleh salah satu pihak dan kemudiannya
berkait dengan penukaran agama anak-anak serta perebutan hak penjagaan
anak-anak berikutan pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah
Syariah serta peruntukan yang tidak jelas dalam isu ini telah menimbulkan
perbahasan awam yang tidak berkesudahan. Keputusan terbaru dalam kes Mohamad
Riduan Abdullah lwn Indhira Ghandi (2015) di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan
bahawa keputusan oleh Mahkamah Syariah Ipoh terhadap hak penjagaan anak-anak
mengikut bapa yang beragama Islam dan pengesahan agama Islam kanak-kanak
tersebut sekali lagi mencetuskan perbahasan yang tidak berkesudahan justeru
kerana kedua-dua Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa
masing-masing. Banyak forum awam dan perbincangan meja bulat telah dianjurkan
oleh kumpulan-kumpulan NGO Islam dan bukan Islam, agensi kerajaan, Majlis
Peguam, dan pihak berkuasa agama yang membahaskan isu tersebut. Sehubungan
dengan itu, Kertas Isu dan Polisi ini mengupas perbahasan tersebut dengan
mengambil kira keadaan sebenar. Selain itu, Kertas Isu dan Polisi ini secara
asasnya, mengandungi tiga segmen, iaitu segmen pertama yang membincangkan
mengenai penukaran agama dari aspek pemikiran Islam dan membentangkan respons
Syariah terhadap kes penukaran agama bagi kanak-kanak. Ini diikuti dengan
penelitian dan perbahasan terhadap keputusan Kabinet pada tahun 2009, 2013 dan
perkembangan seterusnya sehingga kes Muhammad Riduan Abdullah lwn Indira Gandhi
(2015) berserta kesimpulan yang menggambarkan pendirian IAIS Malaysia mengenai
perkara ini berserta polisi cadangan yang dilihat relevan. Tiga lampiran pada
bahagian akhir membekalkan maklumat tambahan mengenai respon masyarakat awam
terhadap perintah Kabinet tersebut, ringkasan statut undang-undang serta
beberapa kes mahkamah yang berkaitan.
KERTAS
ISU DAN POLISI IAIS MALAYSIA
Fatwa yang dikeluarkan oleh
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam
Malaysia kali ke 87 pada 25 Jun 2009 memutuskan bahawa apabila salah seorang
ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak di bawah umur adalah mengikut Islam dan
hak penjagaan anak tersebut hendaklah diletak di bawah ibu atau bapa yang
beragama Islam. Apa yang menarik ialah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa tersebut
memutuskan bahawa Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan
bahawa agama seseorang di bawah 18 tahun adalah mengikut ketetapan oleh ibu
atau bapa tidak perlu dipinda. Keputusan fatwa ini telah diikuti oleh Sabah,
Sarawak dan Pahang. Malangnya kesemua fatwa tersebut tidak diwartakan.
Fenomena
penukaran agama merupakan isu yang sangat sensitif kerana ia melibatkan dua
penganut agama yang berlainan. Ia menjadi fokus perbincangan di Malaysia sejak
empat dekad yang lalu, serta telah menjadi begitu kompleks. Walau bagaimanapun,
sebagai sebuah organisasi pemikir Islam, kami percaya bahawa adalah menjadi
keperluan yang mendesak untuk membentangkan respons serta pendapat yang sesuai
bagi isu-isu masyarakat dalam usaha kami untuk mencari penyelesaian yang
memuaskan. Kami tidak mendakwa bahawa cadangan-cadangan ini bersifat mutlak.
Penyelesaian yang dicadangkan ini merupakan pandangan yang dapat
dipertimbangkan kesesuaiannya. Diharapkan agar jabatan-jabatan kerajaan dan
para perangka polisi di Malaysia akan mengambil perhatian serius terhadap cadangan
penambahbaikan yang kami utarakan ini.
Semenjak daripada penubuhannya
pada tahun 2008, IAIS Malaysia telah secara aktif terlibat dalam menganjur,
membentang pelbagai syarahan umum, forum, persidangan-persidangan peringkat
nasional dan antarabangsa, serta perbincangan meja bulat yang membincangkan
isu-isu berkaitan Islam dalam perkembangan semasa. Kami telah
sekurang-kurangnya menganjurkan empat puluh acara pada setiap tahun. Manakala
pendapat-pendapat yang diutarakan pada penulisan ini merupakan hasil penelitian
terhadap sumber-sumber rujukan Islam, beserta informasi dan pandangan yang
diperolehi menerusi interaksi dan hubungan bersama masyarakat awam. Walaubagaimanapun,
pihak kami tetap bertanggungjawab ke atas sebarang kekurangan dalam pandangan
atau cadangan yang kami bentangkan ini. Kami berharap dapat menyentuh mengenai
topik berkaitan isu-isu yang menjadi keprihatinan masyarakat awam serta
membincangkan isu-isu berbangkit melalui perspektif Islam yang relevan bagi
proses pembentukan polisi-polisi awam dan perundangan pada siri yang akan
datang.
Mohamed
Azam Mohamed Adil
Ahmad Badri Abdullah
Editor