Penyelewengan Jemaah Al-Arqam dan Usaha Pemurniannya
Author: Mohd Lazim Lawee
Publisher: UKM Press
ISBN: 9679426823
Pages: 226pp
Year: 2005
Weight:
Price: RM40
Al-Arqam yang ditubuhkan oleh Ashaari itu sebenarnya bermula dengan tujuan yang baik untuk Islam. Ia bermula dengan kelas fardu ain yang bercorak usrah, meningkat kepada sebuah perkumpulan kecil, kemudiannya terbentuk pula sebagai sebuah jemaah dan akhirnya menjadi gerakan yang mempunyai sebuah organisasi kepimpinan yang lengkap dan tersusun. Al-Arqam pada mulanya tidak ada sebarang motif duniawi selain daripada memberi penekanan sepenuhnya kepada proses pendidikan rohani dengan penanaman iman, pembentukan akhlak dan pemupukan rasa kemanisan beribadat. Pada peringkat inilah Ashaari dapat meraih ramai para intelektual untuk menyertainya. Ketaasuban dan pendewaan keterlaluan di kalangan pengikut-pengikutnya, membuatkan Ashaari terpesona sehinggakan beliau lupa daratan. Walaupun pada asasnya perjuangan al-Arqam bermula dengan matlamat yang baik dan ikhlas untuk Islam, namun yang jelas ia telah berubah menjadi perjuangan bermatlamatkan kepentingan peribadi, apabila ia diuji dengan pujaan, kedudukan, kemewahan dan kemahuan atau keinginan nafsu. Ujian-ujian seperti inilah yang membuatkan pengasas al-Arqam tertewas dan lupa daratan sehingga sanggup melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Pada peringkat awal (1994-96) program pemurnian akidah yang dijalankan didapati kurang berkesan untuk memulihkan akidah ahli al-Arqam, kerana pada pertengah 1996, berlaku cubaan untuk menghidupkan semula jemaah yang telah diharamkan itu.
MOHD. LAZIM LAWEE, Ph. D. adalah Ketua Jabatan Usuludin, Kolej Islam Yala, Selatan Thailand. Beliau banyak menulis dan menyelidik tentang pergerakan Islam di Malaysia dan Thailand.