Sains Dan Teknologi Alam Melayu: Hiidup Bersendikan Sains, Sains Bersendikan Syarak
Author: Abdul Latif Samian & Nazri Muslim
Publisher: UKM Press
ISBN : 9789674129798
Year: 2020
Weight: 0.25 kg
Pages: 161pp
Price : RM 35
Buku ini diterbitkan atas kesedaran untuk menambah korpus ilmiah mengenai sains di Alam Melayu. Orang Melayu adalah masyarakat yang mengambil berat dalam perkara yang berkaitan dengan adat. Umumnya adat ialah peraturan yang sudah ada turun-temurun dalam sesuatu masyarakat sehingga menjadi seolah-olah hukum dan tata cara yang wajar dipatuhi. Adat kemasyarakatan bersifat dinamis dan tidak terlalu statik, sentiasa berubah berdasarkan keperluan anggota masyarakat atau anggota adat, iaitu hujung adat pada muafakat, muafakat membawa berkat dan hilang adat tegal muafakat manakala kedatangan Islam telah disambut baik dan diterima adat, malah diserasikan antara keduanya. Pada masa yang sama, adat turut memperakukan peranan syarak dalam menyelesaikan pelbagai masalah kehidupan serta mengatur urusan harian masyarakat. Selain adat, sains juga amat mempengaruhi kehidupan semasa. Sains telah menjadikan kehidupan lebih mudah dan selesa. Misalnya, melalui sains umat Islam dapat beribadat dengan lebih sempurna apabila dapat mengetahui arah kiblat walau di mana sekalipun berada untuk menunaikan solat. Disebabkan Islam adalah perkara yang tidak boleh dipisahkan dengan masyarakat Melayu, maka adat dan sains sewajarnya selari dan serasi dengan syarak. Hidup bersendikan adat, adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah perlu diperkukuhkan lagi dengan Hidup bersendikan sains, sains bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah. Hal ini untuk menunjukkan bagaimana adat dan sains sewajarnya sangat penting dalam kehidupan masyarakat Melayu yang menjadikan Islam sebagai cara hidup. Dalam Sains bersendikan Syarak pula, kajian tentang alam benda yang menjadi subjek penting sains semestinya mengambil kira kewujudan alam- alam lain untuk kita memperoleh ilmu sains yang lebih sempurna. Peranan al-Quran dan al- Sunnah lebih jelas dan nyata dalam menghasilkan ilmu itu. Buku ini mengandungi sebelas bab yang membicarakan tentang isu isu sains dan teknologi di Alam Melayu dalam konteks hidup bersendikan sains, sains bersendikan syarak.
ABDUL LATIF SAMIAN, PhD, adalah Profesor dan Felo Penyelidik Utama di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Bidang pengkhususan beliau ialah falsafah sains (matematik) dan falsafah bandingan.
NAZRI MUSLIM, PhD, adalah Profesor Madya di Pusat Citra Universiti serta Felo Penyelidik Kanan Bersekutu, Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Bidang pengkhususan beliau ialah kajian etnik dan sosiologi perlembagaan serta pengurusan teknologi.