Ulama Patani: Ketokohan dan Keilmuan
Author: Farid
Mat Zain, Ezad Azraai Jamsari, Hakim Zainal, Zamri Arifin & Anwar Fakri
Omar
Publisher:
UKM Press
ISBN: 9789674121945
Pages: 374pp
Price: RM50
Ulama merupakan kelompok penting dalam masyarakat. Mereka merupakan golongan yang dihormati dan disanjung tinggi lantaran ilmu yang dimiliki dan usaha bakti yang dicurahkan dalam melahirkan generasi berilmu dan beramal saleh. Kewujudan mereka telah mempengaruhi kehidupan sesebuah masyarakat itu. Ramai tokoh ulama besar lahir pada setiap zaman dalam sesebuah kelompok masyarakat, namun maklumat tentang diri, pemikiran dan peranan mereka itu tidak ditonjol dengan sewajarnya. Hal ini akan memberi kesan kepada masyarakat dalam melahirkan generasi cemerlang pada masa akan datang. Pada dasarnya, pembentukan ulama Patani banyak dipengaruhi dan ditentukan melalui pendidikan yang dilalui, para guru yang banyak mengasuh dan kitab-kitab yang dipelajarinya. Buku ini tampil membicarakan secara khusus mengenai ketokohan ulama Patani yang menjadi sebahagian daripada ulama Alam Melayu. Perbincangan menyentuh pelbagai sudut kehidupan iaitu riwayat hidup, pemikiran, sumbangan dan penglibatan ulama dalam masyarakat. Antara tema-tema yang terpilih termasuklah pembentukan ulama Patani daripada perspektif sejarah; pengajian akidah, hadith dan tasawuf perundangan Islam; pemikiran, dakwah dan politik dan Bahasa dan kesusasteraan. Penulisan yang dimuatkan dalam buku ini dihasilkan dari sudut pandang peneliti yang banyak membuat kajian terhadap ulama Patani yang terdiri daripada peneliti Patani sendiri juga di luar Patani. Mudah-mudahan ketokohan dan kehebatan ulama-ulama silam Patani, sama ada untuk diketahui oleh masyarakat dunia Melayu mahupun dunia antarabangsa yang lain akan terserlah. Semoga dengan terlahirnya buku ini akan menambahkan lagi kefahaman dan kecintaan masyarakat terhadap peranan dan sumbangan ulama.