Wacana Pemikiran Reformis Jilid II

RM59.00
9789671099223
90 item(s)
+

Wacana Pemikiran Reformis Jilid II

Editor: Ahmad Farouk Musa
Page: 404 pp
ISBN: 9789671099223
Publisher: Islamic Renaissance Front - IRF
Published: 2014

Semua mazhab reformis bersetuju bahawa kerana rempuhan kesejagatan dan perubahan lapangan pengetahuan yang pantas, kita kini dicengkam dengan pertanyaan yang berkait dengan kelangsungan preskripsi Islam dalam era baru ini.

Terdapat semakin ramai dikalangan Muslim yang mula mendakwa bahawa keupayaan tertinggi adalah akal manusia, yang kita harus gunakan bagi membolehkan kita menjadi khalifah Tuhan yang sebenar di bumi. Hal ini adalah teras daripada Pencerahan dan Renaisans di mana hanya melalui akal kita dapat memahami matlamat tertinggi atau maqāsid agama kita.

Islah (Reformasi) dan tajdid (Pembaharuan) menuntut tidak hanya sumbangan ulama’ yang setara dalam kedua-dua teks dan konteks tetapi juga keterlibatan yang kritis dan imaginasi yang kreatif daripada kelompok massa Muslim khususnya kaum intelektuil. Ia adalah suatu seruan untuk menimbangkan semula sumber melalui rekonsiliasi mereka yang wajar dengan dunia, evolusinya dan pengetahuan manusia supaya dhamir Muslim kontemporer akan ulet dengan zaman moden dan cabarannya.

Buku ini, yang memuatkan antologi esei ditulis oleh kalangan yang menganut semangat reformasi Islam dan pemikiran kritikal. Ia menuntut kita untuk menggunakan daya nalar kita secara maksima untuk mendepani cabaran yang makin mencabar dalam dunia moden.

Jiwa umat ketika ini melalui pergolakan yang getir. Pelbagai cabaran datang daripada luar, politik ekonomi dan juga ketenteraan. Namun dunia Islam tidak dapat menggunakan paradigma lama, misalnya dunia Islam lawan dunia Barat. Dunia Islam hanya satu konsep yang tidak mempunyai penterjemahan politik, ekonomi atau ketenteraan. Semua dunia Islam hidup dalam realiti negara-bangsa. Umat Islam tidak boleh memisahkan dirinya daripada segala pergolakan ini kerana globalisasi dan tata kehidupan masyarakat antarabangsa telah mengikat dunia Islam sebagai sebahagian daripada warga kemanusiaan sedunia.

Dari segi pemikiran dan kebudayaan sempadan luar dan dalam sudah hampir kehilangan makna. Dan perubahan yang pesat dalam dunia menuntut sikap baru umat terhadap dunia. Satu abad dunia Islam berhadapan dengan Barat yang lahir daripada Nandah atau Renaissancedan Pencerahan. Pertembungan tersebut yang dimulakan oleh al-Afghani dan Abduh, belum berakhir dan belum merumuskan apa-apa natijah yang jelas.

Dunia Islam sekarang, sementara meneruskan dialog dengan Barat, perlu membuat persediaan untuk memulakan dialog dengan kuasa-kuasa kebudayaan Asia yang diperkasakan oleh ketakjuban ekonomi Gina dan India. Saya terkesan dengan riak-riak pemikiran generasi muda Malaysia berdepan dengan suasana rencam ini. Rencana-rencana dalamWacana Pemikiran Reformis Jilid II ini mencermin renungan diri terhadap susuk pergolakan pemikiran dan rohani umat. Suara-suara kritis tersebut ibarat bibit-bibit zaman. Sebahagian besarnya melawan arus pemikiran dominan yang semakin konservatif dan melemaskan.

Saya rasa mereka adalah harapan umat.

Khalid Jaafar

Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar

Persoalan Islam, negara dan demokrasi sering mendambakan pencerahan dan pemahaman dengan nafas baru yang bertenaga. Terdapat kecenderungan keterlaluan untuk mensakralkan kitab turath - yang walaupun diakui amat monumental - namun masih kurang mampu memberi pencerahan yang segar terhadap beberapa persoalan fiqh ad-daulah masakini khususnya dalam konteks demokrasi dengan pelbagai ramifikasinya.

Bahkan dalam wacana pemikiran yang berorientasikan reformis, persoalan islah mahupun tajdid - yang pada dasarnya mesti disandarkan pemahaman serta tuntutannya daripada nass - hampir pasti memerlukan pencerahan dalam ertikata maksud dan tuntutannya lewat prasarana aqidah-ideologi secara tuntas dan sistemik.

Islah yang bersumber daripada Al-Quran menegaskan proses pembaharuan berterusan menuju maslahah yang seluasnya. Manakalatajdid yang bersumber daripada kalimah hadith pula menegaskan azam dan strategi pembaharuan yang berhubung rapat dengan pemimpin dan segala sifat kepimpinannya yang unggul.

Apabila digabungkan sekali islah dan tajdid, maka ia menampilkan satu pembaharuan berlandaskan kerangka fikir, proses, keazaman serta kepimpinan menuju perubahan bagi membangun dan mengekalkan ide, tradisi dan peradaban baru. Hal ini bermakna, pengertian dan tuntutanislah dan tajdid masakini memerlukan concept, percept dan precept yang utuh sepadan dengan konteks yang digarap oleh pembaharuan itu sendiri.

Aktivis gerakan Islam yang meniti prasarana demokrasi kini mendepati satu dilema dan paradoks yang tidak berkesudahan. Demikian ini disebabkan dalam keadaan tetap setia berpegang kepada ide-ide monumental yang klasik, mereka terus terperangkap dengan rasa curiga terhadap ide-ide baru lantas melabelkannya sebagai tidak asalahbahkan inhiraf. Akibat daripada percept seperti ini, pencerahan ide ke arah gerakerja reformis yang unggul sering meleset dan tersasar.

Esei-esei dalam Wacana Pemikiran Reformis II ini dengan begitu berani menganalisis serta mengemukakan tesis baru bagi menjawab persoalan berkenaan gerakan dan gerakerja reformis. Hasil experiment dan ijtihadtokoh-tokoh besar reformis dunia Islam dan alam Melayu-Nusantara ditampilkan dengan begitu meyakinkan sekali.

Pemikiran serta ide-ide pencerahan Muhammad Asad, Iqbal, Mawdudi, Hamka, Hasbi Shiddieqy, Muhammad Natsir, Sheikh Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh Al-Hadi dan Burhanuddin Al-Helmy serta tidak ketinggalan Ahmad Wahib, Za'ba dan Boestamam dikupas dengan tekun, teliti dan penuh dedikasi. Himpunan esei dalam buku ini adalah testimoni kepada kesegaran ide-ide islah dan tajdid tokoh-tokoh tersebut. Merekalah reformis sejati. Reformis sepanjang zaman.

Saari Sungib

Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Hulu Kelang

Buku yang Sesuai Dibeli Bersama


JAMINAN KAMI

ORDER DIPROSES & DIHANTAR SETIAP HARI

Bayar SEBELUM 10 AM, order akan diproses & dihantar pada hari yang sama.

Bayar SELEPAS 10 AM, order akan diproses & dihantar pada esok hari.

*ISNIN - JUMAAT (hari bekerja sahaja). Tiada penghantaran dibuat pada hari Sabtu, Ahad & cuti umum.

HUBUNGI KAMI