Yusuf Al-Qaradawi: Sebuah Sorotan Bio-Bibliografi
Editor: Shah Nazrin
Publisher: ABIM Press
ISBN: 9789672158868
Weight:
Page: 318pp
Year: 2021
Price: RM40
‘Allāmah Imām Dr. Yūsuf al-Qaraḍāwī merupakan antara tokoh sarjana kontemporari yang paling berpengaruh di dunia. Beliau merupakan tokoh yang mengambil penting soal keberkesanan pengucapan dan juga penulisan. Justeru itu, tidak hairanlah jika siri pidato dan ucapan lisan beliau mampu menarik minat dan perhatian ramai umat manusia dan menyentuh hati-hati mereka, dan begitu jugalah pengaruhnya yang tercetus dari karya-karya penulisan beliau.
Dengan mengambil semangat tradisi ilmu fahrasah yang diletakkan asasnya oleh Ibn al-Nadīm, karya ini dipersembahkan untuk mengkatalogkan hampir keseluruhan karya-karya penulisan al-Qaraḍāwī bersama maklumat ringkas berkaitan isi kandungan setiap karya tersebut. Justeru, buku ini menghimpunkan lebih 1001 karya (sehingga saat buku ini ditulis, termasuk karya-karya terbaru yang sedang dalam proses penerbitan), di mana hampir 300 daripadanya adalah karya al-Qaraḍāwī sendiri, manakala lebih 800 karya yang lain pula adalah kajian-kajian akademik berkenaan beliau yang ditulis oleh para pengkaji lain dalam sekurang-kurangnya 13 bahasa, tidak termasuk ratusan atau mungkin ribuan terjemahan dari karya-karya beliau dalam pelbagai bahasa.
Buku ini turut berkongsi banyak dapatan menarik yang diperolehi berkenaan keterlibatan beliau dalam bidang penulisan. Karya-karya beliau merangkumi pelbagai genre ilmu, justeru ia menggambarkan personaliti beliau sebagai seorang tokoh yang mutafannin (versatil dan prolifik). Ia juga membongkar rahsia di sebalik produktiviti beliau dalam menghasilkan begitu banyak karya-karya penulisan di samping kesibukan beliau dalam berdakwah, mengembara dan menghadiri dan menyumbang dalam banyak persidangan di seantero dunia.
Sebagai peringatan, buku ini bukan bertujuan untuk menyediakan ‘book review’ yang sepatutnya disertai dengan analisis dan kritikan, bahkan ia lebih kepada nota-nota ringkas berbentuk ‘teaser’ bagi sesiapa yang belum membaca karya-karya tersebut. Bagi yang pernah membaca karya-karya beliau pula, moga buku ini dapat mencetuskan kembali rasa minat untuk mengulang baca dan menambahkan lagi kefahaman tentang karya-karya tersebut.